Get Adobe Flash player
Keahlian Online
WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT
Download
WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT
Facebook

Google+


FB YB
Jaringan IT UMNO
Waktu Solat

[ c l o s e ]

Monthly Archives: February 2016

150 Orang Dari Sarawak Akan Dipilih Sertai Program Khas Haji Yayasan 1MDB – Najib

Najib Tun Razak

Najib Tun Razak

Sebanyak 150 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Sarawak akan dipilih bagi menyertai Program Khas Haji Yayasan 1Malaysia Berhad (1MDB) tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengumumkan perkara itu semasa melawat Masjid Jamek Saratok hari ini, Perdana Menteri berkata mereka yang dipilih itu nanti terdiri daripada 75 imam dan 75 pengerusi JKKK.

“Kami serahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan siapa yang akan terpilih untuk menunaikan fardu haji di bawah program ini nanti,” katanya.

Beliau berkata ini adalah sebagai menghargai jasa kepimpinan imam dan pengerusi JKKK di peringkat akar umbi.
Program khas untuk menunaikan rukum Islam kelima itu dimulakan Yayasan 1MDB pada 2011 dengan sebanyak 111 jemaah dari seluruh negara. Jumlah itu ditingkatkan kepada 400 orang pada tahun berikutnya, 2013 (800), 2014 (1,000) dan 2015 (1,200).

Najib berkata jumlah yang dipilih bagi negeri Sarawak adalah besar dan beliau berharap mereka akan mendapat haji yang mabrur nanti.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Terdahulu Perdana Menteri merasmikan Program Sejiwa Senada 2016 Saratok yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

-Bernama

Makanan Sedap : Tiga Beradik Wakili Besut Ke ‘Beautiful Terengganu’ Di Johor

dsc_0683
Pengalaman 20 tahun sebagai guru masakan di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) membawa tuah kepada Hasnah Yusof,65 dari Kampung Balik Bukit, Besut muncul johan Pertandingan Masakan Sedap Peringkat Daerah Besut yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong, semalam.

Hasnah bersama dua adiknya, Maznah dan Rahimah dari kumpulan Jalinan Kasih mengalahkan 50 peserta lain dalam pertandingan untuk memilih wakil daerah ke pertandingan peringkat negeri tidak lama lagi.

Pertandingan anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK)  itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhamad Pehimi Yusof yang juga ADUN Jertih.

Hasnah selaku ketua kumpulan adik beradik itu banyak menggunakan pengalaman hidup sebagai guru masakan ketika bertugas dengan KEMAS untuk meraih kejayaan dalam pertandingan berkenaan.

“Kejayaan ini bukan pertama kali bagi saya kerana setiap kali pertandingan masakan peringkat daerah, sememangnya sering menjadi johan,” katanya.

Berikutan kejayan itu beliau memperolehi hadiah wang tunai RM500 serta sijil dan akan mewakili daerah untuk ke karnival Beautiful Terengganu di Plaza Angsana,Johor Bharu, Mac depan.

Hasnah menggunakan kepakaran memasak lauk berasaskan udang, daging dan ikan dengan hiasan menarik selain keenakkan masakan menjadi daya tarikan pengadil memilihnya sebagai pemenang.

Muhamad Pehimi ketika merasmikan program itu, mahu penduduk negeri ini mengekalkan produk tempatan Terengganu untuk dijadikan sajian kepada pelancong luar yang berkunjung ke negeri ini.

Katanya, banyak kuih dan masakan tradisional yang diwarisi oleh nenek moyang perlu diberi perhatian semula oleh wanita dan menjadikan makanan tempatan untuk dinikmati pelancong.

Beliau berharap menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh YPK dapat mengetengahkan produk makanan negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi dan menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Besut dipilih program perantis kurangkan penagih dadah

penagih

BESUT – Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri telah memilih daerah Besut bagi program perintis mengurangkan bilangan penagih dadah.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu usaha yang bermula Mac ini akan mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis.

Katanya, mengikut kajian dijalankan oleh Pemandu dan USM, didapati kira-kira tujuh peratus daripada bilangan penduduk Besut telah menagih dadah dan angka tersebut dianggap sebagai membimbangkan.

Bagaimanapun, Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, keadaan tersebut masih boleh dikawal melalui rawatan dengan memastikan setiap penduduk menjalani gaya hidup sihat.

“Melalui program itu nanti pelbagai pihak di Besut akan bekerjasama untuk mengenal pasti penagih dadah dan seterusnya memujuk mereka menjalani rawatan”, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Perintis Mengurangkan Penagihan Dadah di Besut hari ini.

Idris berkata, dalam tempoh enam bulan bermula Mac nanti, semua pihak termasuk penduduk kampung akan turut memantau, melapor dan mengenal pasti mereka yang menagih untuk dicadangkan mengkuti rawatan yang disediakan oleh pihak tertentu seperti USM dan AADK.

Beliau yakin menerusi program itu, peratusan penagih dadah di daerah Besut dapat dikurangkan dan seterusnya mencapai matlamat bebas penagih dadah. – Bernama

Janji selesai masalah di muara

KUALA BESUT – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah muara Kuala Besut yang semakin cetek kerana timbunan pasir susulan fenomena air pasang besar baru-baru ini, dengan kadar segera.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau akan berbincang dengan pihak kementerian bagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, kementeriannya juga akan berbincang dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi mencari penyelesaian jangka pendek.

“Kita akan mencari ikhtiar sama ada mengorek atau melakukan kerja-kerja mendalamkan muara berkenaan dengan segera kerana keadaannya sekarang ini mengganggu aktiviti nelayan, termasuk pengusaha bot pelancongan.

“Tindakan segera akan dilakukan sebelum projek pemecah ombak dilaksanakan,” katanya kepada media selepas melawat Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan muara Kuala Besut, di sini, semalam.

Ahmad Shabery ketika melawat kawasan industri pembenihan ikan kerapu di Pantai Air Tawar, Kuala Besut, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad.

Sebelum itu, Ahmad Shabery mengadakan sesi dialog ringkas di pekarangan kompleks tersebut yang menyaksikan Persatuan Nelayan Kawasan Besut menyampaikan dilema dihadapi ahli-ahlinya.

Fenomena air pasang besar yang berlaku di kawasan pesisir pantai di negeri ini sejak awal bulan lalu menyebabkan muara Kuala Besut semakin cetek.

Timbunan pasir daripada laut menyukarkan bot-bot nelayan mendaratkan ikan di Kompleks LKIM selain mengundang bahaya kepada pelancong yang keluar masuk ke Pulau Perhentian.

Kerajaan negeri akan pantau gempa Tasik Kenyir

 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menerusi jabatan terlibat akan menjalankan pemantauan dari masa ke semasa susulan kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, malam kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, berdasarkan laporan diterima, kejadian gempa bumi itu bukan yang pertama berlaku di kawasan berkenaan, malah telah masuk kali ketiga buat masa ini.

“Gegaran di Tasik Kenyir itu adalah gegaran yang lemah dengan 2.7 magnitud skala richter dan saya telah menerima laporan dari Tenaga Nasional Berhad (TNB)  bahawa gegaran itu tidak meninggalkan sebarang kesan buruk dan keseluruhan empangan di situ tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

“Gempa yang berlaku bukan sekali, ini kali ketiga dan yang pertama pernah berlaku pada 1980, berlaku skala 4.6 skala Richter ketika pengisian empangan, kedua berlaku pada 2010 dengan 2.6 skala Richter dan kita merasakan, ini dari segi kemungkinan yang dimaklumkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Beautiful Terengganu 2016 di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurut Ahmad Razif, kejadian yang berlaku kali ini mungkin rentetan kejadian yang pernah berlaku sejak 35 tahun dulu.

“Bagaimanapun, kita harap orang ramai tidak khuatir dan panik kerana pihak kerajaan akan sentiasa menjalankan pemantauan. Jabatan Meteorologi Malaysia cawangan Terengganu akan pantau apa yang berlaku daripada masa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, pemantauan dan pemeriksaan dijalankan pihak Bomba dan Penyelamat di kawasan sekitar dan Empangan Kenyir mendapati tiada lokasi terjejas atau sebarang kerosakan akibat gegaran susulan gempa bumi di Tasik Kenyir, malam kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pemantauan dari semasa ke semasa secara berterusan turut dilaksanakan pihaknya berhubung perkara tersebut.

“Kami telah jalankan pemeriksaan di beberapa lokasi dan mendapati tiada kawasan terjejas termasuklah di Empangan Kenyir. Penduduk serta orang ramai diharapkan tidak perlu bimbang kerana tiada sebarang kerosakan didapati.

“Kita juga tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam berhubung perkara itu. Orang ramai juga diharapkan tidak membuat sebarang andaian berhubung gegaran tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ampangan Paya Peda, Hulu Besut Bantu Tingkatkan Hasil Pertanian

 

Projek Pembangunan Ampangan Paya Peda,Hulu Besut, yang siap pembinaannya bukan sahaja membantu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman padi negeri ini malah ia turut berfungsi bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di daerah Besut.

Projek bernilai RM420 juta yang pertama dibina oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi tujuan pengairan dan membekalkan air kepada petani di kawasan jelapang padi utama negeri ini kini siap sepenuhnya.

Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan, Dato’  Seri Ismail Bakar berkata, ampangan seluas 1,200 hektar itu mampu menakung 220 juta meter padu air  untuk bekalan pengairan padi membabitkan kawasan 9,000 hektar di Kawasan Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara).

Katanya, pembinaan ampangan berkenaan akan meningkatkan keperluan beras dalam negeri kepada 90 peratus berbanding 47 peratus pada masa ini.
“Ketika ini, penanaman padi di kawasan pertaniaan IADP Ketara di Besut dan Setiu seluas 4,876 hektar dapat menyumbang kepada 90 peratus keperluan beras dalam negeri,” katanya.

Turut hadir,Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komiditi Negeri Nawi Mohamad yang juga ADUN Hulu Besut dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato Muhamad Pehimi Yusof yang juga ADUN Jertih.

Beliau berkata apabila projek naik taraf itu siap, ia akan meningkatkan keperluan beras dalam negeri kepada 77 peratus berbanding 47 peratus pada masa ini.

Katanya, apabila skim pengairan Ketara Fasa 2 dapat disiapkan, beliau yakin keperluan beras untuk negeri ini dapat ditampung 100 peratus daripada projek itu.

“Ampangan Paya Peda dijangka dapat menakung hujan di sekitar 7,500 hektar kawasan tadahan ke dalam kawasan takungannya yang mempunyai keluasan 1,200 hektar itu,” katanya.

Malah, katanya,  seramai 2,700 petani di Besut dan Setiu akan mendapat limpahan bagi mengusahakan seluas 9,000 hektar tambahan kawasan padi berbanding hanya 5,323 hektar sahaja ketika ini.

“Projek pembinaan yang dimulakan pada 2010 dan sepatutnya siap pada 30 Nov 2013 tetapi terlewat selama 1 tahun 4 bulan daripada jadual asalnya, bertujuan membekalkan air kepada 2,759 pesawah dalam Skim Pengairan Besut.

“Empangan itu yang mampu menakung 200 juta meter padu air mampu menakung antara 15 hingga 20 peratus air hujan yang turun di musim tengkujuh kelak bagi mengelak berlakunya banjir,” katanya.

Lebihan Stok Bantuan Banjir Akan Diagih Kepada Golongan Miskin

 

Kerajaan Terengganu akan mengagihkan barangan keperluan untuk mangsa banjir yang kini disimpan di pusat pangkalan hadapan seluruh negeri kepada golongan miskin dan ibu tunggal pada awal Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof berkata, agihan itu sudah boleh diagihkan memandangkan tiada lagi ancaman banjir yang akan berlaku di Terengganu dalam masa terdekat.

“Kita akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk mengenal pasti golongan miskin dan ibu tunggal yang akan menerima bantuan ini.

“Ketika ini, proses pengiraan stok makanan telah pun dimulakan oleh pegawai-pegawai di semua pusat pengkalan hadapan untuk pengagihan itu dilakukan secara berperingkat di semua kawasan yang sudah dikenal pasti,” katanya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM912,574 bekalan makanan dan RM1.34 juta lagi untuk kelengkapan harian bagi mangsa banjir pada tahun lepas.

Namun, Muhammad Pehimi berkata banjir yang berlaku tahun lepas tidak seburuk tahun-tahun sebelum ini dan pihaknya akan membuat kiraan semula stok makanan dan keperluan harian yang masih berbaki di pusat pengkalan hadapan.

“Barangan makanan seperti biskut, kopi, bihun dan susu yang belum tamat tarikh luput akan diagihkan segera.

“Barangan lain seperti kain batik, kain pelikat, toto, selimut, lampin bayi dan keperluan yang tidak mempunyai tarikh luput pula akan akan disimpan semula untuk persediaan menghadapi banjir di masa akan datang,” katanya.

UA, MPN Mahu Bincang Isu Kontrak, Umur Persaraan Profesor – Idris Jusoh

BANGI, 22 Feb (Bernama) — Pihak Universiti Awam (UA) dan Majlis Profesor Negara (MPN) akan bertemu dalam tempoh terdekat ini bagi membincangkan isu kontrak dan lanjutan umur persaraan bagi perkhidmatan golongan profesor, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata pihaknya menyedari perkhidmatan sebilangan profesor yang menghampiri usia persaraan, masih diperlukan kerana penglibatan mereka dalam sesuatu kajian atau penyelidikan.

Pada masa yang sama, katanya, kementerian juga perlu akur dengan autoriti yang dimiliki universiti berkenaan.

“Kementerian akan kaji, lihat keperluan tetapi lebih penting perbincangan dengan universiti perlu dilakukan terlebih dahulu kerana institusi itu lebih tahu tentang apa yang dikehendaki dan keperluan, berdasarkan apa yang akan disumbangkan profesor berkenaan,” katanya.

— BERNAMA

ECERDC Bangun Projek Bersepadu Akuapolitan Pertama Malaysia di Terengganu

 

Terengganu bakal menyaksikan perlaksanaan projek Akuapolitan pertama di Malaysia, iaitu satu skim pembasmian kemiskinan untuk komuniti nelayan yang akan dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) bertempat di Kuala Nerus, Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) mensasarkan penglibatan 451 peserta dalam industri penangkapan ikan dan perusahaan yang berkaitan, di mana 90 peratus daripada mereka merupakan individu berpendapatan rendah dalam kategori B40.

“Projek akuapolitan ini melibatkan penyertaan seluruh ahli keluarga peserta, sekali gus akan memberi impak kepada setiap aspek kehidupan mereka secara holistik dan menyeluruh disamping memberi peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan bulanan yang lebih tinggi.

“Pada masa sama, anak-anak peserta yang bersekolah akan mendapat manfaat daripada program Latihan Kemahiran Akademik empower ECER yang dkendalikan ECERDC, sementara melalui program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER yang dijalankan, golongan belia yang menganggur dan suri rumah yang menyertai program latihan tersebut berpeluang untuk memperoleh pekerjaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Negeri Terengganu bagi tahun  2016,di pejabat ECERDC, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Pada majlis tersebut, ECERDC yang diwakili Datuk Seri Issace menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UMT yang diwakili Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar sebagai perjanjian kerjasama dalam pembangunan projek berkenaan.

Ahmad Razif berkata, peserta AKN juga diberi latihan dalam bidang pembangunan diri dan pengurusan kewangan untuk membantu mereka membina masa depan yang lebih baik untuk diri dan keluarga.

“Akuapolitan Kuala Nerus akan dibangunkan sebagai zon penangkapan ikan laut bersepadu dan mampan, yang merangkumi pembinaan Terminal Perikanan Akuapolitan, Perkampungan Pemprosesan Ikan Akuapolitan dan Pusat Penyelesaian Menyeluruh Perikanan (Akuapolitan Total Marine Solutions Centre).

“Peserta projek berpeluang untuk mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian nilai industri perikanan, iaitu daripada perikanan persisiran dan laut dalam sehingga kepada pemprosesan produk perikanan serta penyelarasan proses pembungkusan, pemasaran dan pengedaran.

“Ini akan membolehkan mereka menikmati pendapatan bulanan yang lebih tinggi dan kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.

Katanya, ECERDC telah melantik UMT sebagai perunding untuk menjalankan kajian sosio-ekonomi, strategi pembangunan danpelaksanaan menyeluruh AKN dimana kajian telah bermula pada November 2015 dan dijangka siap pada April 2016.

Lay Out Tok Saboh, hebat…jadilah sepertinya

Presint. Jarang tempat di kampung menggunakan perkataan ini untuk menunjukkan tempat atau lokasi. Ia berasal dari perkataan Inggeris iaitu ‘precinct’ yang boleh diertikan daerah sekitar, batas


atau pembahagian (batasan). Namun ia digunakan oleh sebuah kampong di Kuala Besut, Terengganu iaitu Lay Out Tok Saboh. Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Lay Out Tok Saboh, Ashari Kumar Yusof ia adalah keputusan bersama yang dibuat oleh J3K berkenaan bagi menampakkan sedikit ciri-ciri bandar walaupun ia kawasan mereka terletak dalam kawasan kampung, sekaligus boleh mengubah minda para penghuninya.

Setiausaha J3K Lay Put Tok Saboh

Walaupun penempatan dan perumahan ini baru (lebih kurang 10 tahun), tetapi dengan pengurusan dan perancangan ia telah dipastikan tersusun dengan baik dari segi kebersihan, keindahan dan persepakatan penduduk yang membabitkan 243 buah rumah.

J3K ini dipengerusikan oleh Encik Rashid Jusoh, tetapi dibantu oleh ahli-ahli yang sentiasa memberi buah fikiran yang baik untuk kejayaan bersama 243 buah rumah, yang penghuninya terdiri dari nelayan, petani, kaki tangan kerajaan dan peniaga.

Sebelum itu mereka bernaung di bawah Kampung Alor Jejawi, tetapi sejak 2004 mereka berusaha untuk berdikari dan mengurus sendiri penempatan Lay Out Tok Saboh.

Dalam tempoh yang singkat sudah banyak kejayaan dicapai dalam pelbagai pertandingan, termasuk pertandingan kebersihan dan keindahan peringkat negeri iaitu di tempat ketiga.
Ashari memberitahu, mereka menanamkan sikap mencintai tempat tinggal mereka itu dengan slogan “Lay Out Tok Saboh di Hatiku”.

Mereka merancang berbagai program yang membabitkan semua aspek kehidupan, agama, sukan, kesihatan dan sosial serta kebajikan.

Bahkan mereka ada mengusahakan hotel bajet untuk kemudahan pelancong dan pelawat yang datang ke Kuala Besut dan sekitar kerana lokasi kampung mereka adalah berdekatan sempena Terengganu-Kelantan di sebelah jalan pantai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut YB Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, beliau akan meneruskan lagenda kepemimpinan sebelum ini untuk kecemerlangan Lay Out Tok Saboh dan kampung-kampung lain juga dalam Dun Kuala Besut.

Mereka sedang mengusahakan Mini Astaka dan Lampu Limpah untuk kemudahan dan keceriaan penempatan Lay Out Tok Saboh.

Apa yang dilakukan ini adalah selaras dengan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang diperkenalkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Presiden
Tim Presiden
Kategori Berita
Muat turun
APLIKASI UMNO BAHGIAN BESUT Muat Turun Aplikasi Umno Bahagian Besut untuk Telefon Android APLIKASI UMNO BAHGIAN BESUT Muat Turun Aplikasi Umno Bahagian Besut untuk Telelefon Iphone
WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT
TV Umno
Lagu Umno
YouTube
Pautan Luar
WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT