Monthly Archives: April 2014
Gembira anak bebas dadah walau tak ke universiti
BESUT – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Muhammad Pehimi Yusof terkejut apabila ada ibu bapa gembira walaupun anak mereka tidak berjaya memasuki universiti tetapi bebas daripada penagihan dadah.
Menurut Adun Jertih itu, keadaan tersebut menggambarkan masalah dadah semakin meruncing dalam masyarakat dan menular di mana-mana sahaja malah dianggap sebagai ancaman kepada anak muda.
Katanya, ada seorang bapa bertemunya memberitahu bersyukur kerana anaknya tidak terlibat dengan dadah dan kejayaan itu begitu besar maknanya walaupun anaknya tidak dapat memasuki universiti.
“Kalau beginilah pandangan masyarakat, ini menggambarkan masalah penagihan dadah terutama dadah sintetik seperti pil kuda serius dan dilaporkan turut membabitkan pelajar sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Daerah Besut ke-29 di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Pemadam Besut yang juga Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.
Sehubungan itu, Muhammad Pehimi menggesa semua pihak termasuk pemimpin masyarakat mengambil peranan untuk mengatasi masalah penagihan dadah di kawasan masing-masing.
–SINAR
Karnival Jom Masuk U Meriah
Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang bermula semalam menerima kehadiran ribuan pengunjung.
Karnival tahunan selama dua hari itu diadakan sejak tahun 2005 dengan beberapa lokasi menjadi pilihan di seluruh negara
Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, karnival seumpama itu yang menggunakan tagline ‘Jom Masuk U’ mampu menjadi tempat rujukan terbaik atau dianggap ‘One Stop Centre’ kepada orang ramai.
“Program tahunan itu turut menyediakan maklumat akreditasi dan pembiayaan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, pelajar lepasan asasi, diploma, sijil dan diploma kemahiran
“Karnival itu sudah tentu mampu mendidik dan memupuk kesedaran di kalangan pemohon dan masyarakat awam mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke IPTA melalui Aplikasi Dalam Talian (Online),” katanya selepas merasmikan program itu hari ini.
Lebih 50 institut pengajian tinggi awam dan swasta serta beberapa agensi kerajaan terlibat dalam karnival ini.
Turut serta ialah institusi berkaitan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Sepanjang dua hari karnival itu berlangsung, beberapa gerai pembiayaan pelajar seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut mengambil bahagian.
Idris menambah, ini merupakan satu karnival ‘masa hadapan’, di mana menentukan hala tuju remaja lepasan sekolah untuk memilih kursus yang ditawarkan selain penempatan dalam universiti mahupun kolej universiti.
”Kita dapati mereka yang hadir terdiri daripada 60 peratus adalah pelajar, selebihnya guru dan ibu bapa,” ujarnya
