Get Adobe Flash player
Keahlian Online
WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT
Download
WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT
Facebook

Google+


FB YB
Jaringan IT UMNO
Waktu Solat

[ c l o s e ]

Monthly Archives: February 2014

1 2 3 5

BR1M selaras tuntutan Islam, bantu kurangkan beban rakyat

KUANTAN: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan adalah selaras dengan syariat Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Sambil memetik sepotong hadis, Najib berkata Islam menggalakkan umatnya membantu meringankan bebanan yang ditanggung orang lain termasuk melunaskan beban hutang.

“Seorang sahabat Rasulullah SAW pernah bertanya kepada baginda, Ya Rasulullah siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai Allah.

Jawab Rasulullah manusia yang paling dicintai ialah manusia yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain, menggembirakan manusia lain dengan melunas hutang orang tak mampu bayar, beri makan kepada orang kelaparan dan berjalan untuk membantu orang yang susah, itu lebih baik daripada beriktikaf selama sebulan di masjid.

“Saya tahu ada orang yang bayar hutang apabila mendapat bantuan BR1M ini, kita tolong orang lunas hutang, besar pahala yang kita dapat,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian BR1M Parlimen Pekan di Dewan Seri Perdana Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM) di sini hari ini.

Di majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan bantuan kepada 1,000 penerima daripada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Peramu Jaya, Bebar dan Pulau Manis.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib berkata, beliau tidak kisah dengan sikap pembangkang yang sentiasa mengutuk kerajaan walaupun langkah yang dilakukan kerajaan itu memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita pegang pada hadis, Insya-Allah apa yang kita lakukan akan diredai Allah,” katanya.

Burukkan BN & UMNO, Ibarat Tepuk Air Dalam Dulang

KUALA LUMPUR, 17 Feb. – Tindakan Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dengan macam-macam tuduhan termasuklah dalam soal pembangunan dan kemajuan untuk rakyat dilihat sebagai menidakkan kewibawaannya sendiri.

Penganalisis politik tempatan, Dr. Jeniri Amir melihat, apabila Anwar memburuk-burukkan kerajaan dengan pelbagai kata-kata negatif maka secara tidak langsung dia menafikan apa yang telah dilakukannya dalam kepimpinan BN dan UMNO sebelum ini.

“Beliau cenderung menggunakan strategi komunikasi politik untuk hakiskan kewibawaan BN dan hagemoni kerajaan dengan matlamat untuk penuhkan agenda politiknya sendiri sedangkan secara sedar atau tidak tindakannya itu adalah memburuk-burukkan dirinya sendiri,” katanya kepada UMNO-Online.

Terang beliau, dengan penglibatan Anwar dalam kabinet Malaysia yang diterajui oleh BN selama hampir dua dekad maka tentunya banyak dasar dan keputusan dalam kerajaan turut membabitkan dirinya sendiri.

“Gelagat Anwar sekarang ini ibarat menepuk air dalam dulang tapi terpercik di muka sendiri kerana kerajaan yang diburukkan hari ini adalah kerajaan sama yang dianggotainya sebagai menteri kabinet sehingga menjawat Timbalan Perdana Menteri Malaysia suatu ketika lalu.

“Kerajaan BN tersebut masih kekal sebagai pentadbir dan menerajui kepimpinan dengan membawa banyak kemajuan dan transformasi kepada keseluruhan rakyat namun Anwar yang telah berubah menjadi ketua pembangkang bersikap sebaliknya dan menentang apa yang pernah dilakukannya.”

Ujar beliau yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tentunya Anwar sendiri menyedari bahawa sememangnya jasa-jasa BN terlalu banyak, bawa pembangunan, bawa kemajuan, bawa rakyat keluar dari kemiskinan, bawa perubahan dan macam-macam lagi namun kerana kuasa dalam politik maka hal-hal tersebut dinafikan.

“Kerana keghairahannya untuk berkuasa maka Anwar sanggup menggunakan apa-apa sahaja cara kerana matlamatnya sekarang menghalalkan apa saja cara termasuklah memburuk-burukkan kerajaan yang sebelum ini beliau sendiri terlibat dalam membuat keputusan.”

“Apa yang dilakukan oleh Anwar hari ini adalah bertentangan dengan nilai dan etika sebagai pemimpin malah dianggap hipokrit kerana memburuk-burukkan pihak yang pernah dianggotainya, memburuk-burukkan dasar yang pernah dia sendiri terlibat dan kemudiannya menganggap semua yang dilakukan oleh BN tidak betul,” katanya.

Antara perkara yang diketengahkan oleh Anwar dalam beberapa siri ceramahnya ialah membabitkan pengguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang mana turut dibidas oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyatakan Anwar turut memainkan peranan penting menjayakan Op Lalang pada 1987 selain ‘projek IC’ di Sabah dan hal-hal lain.

“Rakyat tahu apa yang berlaku kerana BN bukanlah kerajaan yang baru sebaliknya kepimpinannya sentiasa memikirkan keperluan rakyat malah Perdana Menteri hari ini pun berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan rakyat berada dalam keadaan selesa,” katanya.

Dalam hal ini beliau turut mengulas berkaitan tindakan Anwar yang mencalonkan dirinya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.

“Semua orang dah tahu permainan politik Anwar dan tentunya para pengundi di Kajang juga akan dapat membezakan yang mana kaca dan yang mana permata, apatah lagi rakyat di situ bukanlah bodoh untuk membezakan penilaian politik sebenar,” tegasnya lagi.

Anwar bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh di atas tiket UMNO pada tahun 1982 sebelum dilantik menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kemudiannya menerajui ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Pada tahun 1983, Anwar dilantik sebagai Menteri Belia, Kebudayaan dan Sukan, kemudian beralih ke portfolio Kementerian Pertanian dan pada tahun 1987 dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 1991 yang diikuti menjawat Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993. – MediaUMNO

Unit Rondaan Bermotosikal (URB) PDRM Besut dilancar

 

Penduduk sekitar bandar Jertih terutama kawasan perkedaian dan perumahan akan mendapat khidmat Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia bermula hari ini.

Perkhidmatan 24 jam membabitkan 15 lokasi terpilih bertujuan mengurangkan kadar jenayah di kawasan terbabit yang sebelum ini merekodkan kes yang membimbangkan.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, YB Muhamad Pehimi Yusof melancarkan unit berkenaan dalam satu upacara khas di Tapak Medan Selera Jerih, pagi tadi.

Ia turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintandan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Majlis pelancaran itu mendapat sambutan penduduk setempat yang hadir memeriahkannya yang dihadiri pemimpin masyarakat, wakil badan bukan kerajaan dan peniaga sekitar bandar Jertih.
Sebanyak 17 motosikal peronda disediakan untuk membuat rondaan 24 jam di kawasan yang dipilih oleh PDRM daerah Besut.

Tugas utama unit berkenaan adalah untuk membuat rondaan di kawasan taman perumahan dalam tempoh 24 jam bagi mencegah berlakunya jenayah khususnya jenayah pecah rumah dan mencuri motosikal.
—Teganukita
mohamad ishak

Nenek bersyukur dapat bantuan bina rumah baru

Impian nenek, Siti Aminah Abdullah,75, dari Kampung Gong Mat Som, dekat sini untuk memiliki rumah baru akan menjadi kenyataan apabila kerajaan negeri menyumbangkan bantuan khas untuk membina baru selepas rumah asalnya musnah dalam kebakaran. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri,

Muhamad Pehimi Yusof berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan peruntukkan khas kepada mangsa kebakaran itu.

Katanya, bantuan itu bagi meringankan beban hidup yang dihadapi warga emas berkenaan yang tidak mempunyai suami dan dapat meneruskan kehidupan di rumah baru yang bakal dibina tidak lama lagi. 

Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jetih, menyerahkan sumbangan

RM25,000 kepada Siti Aminah di Kampung Gong Mat Som, dekat sini semalam. 

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 pagi 26 Disember tahun lalu,ketika nenek berkenaan yang tinggal bersama empat cucunya berumur 3 dan 11 tahun hanya yang hanya sempat menyelamatkan diri ketika api sedang marak membakar rumah kayu peninggalan arwah suaminya.

 “Semua peralatan sekolah yang baru dibeli musnah sama sekali dan tidak sempat diselamatkan apabila hangus dalam kebakaran,” kata nenek,Siti Aminah.

Siti Aminah berkata, ketika kejadian beliau berada di dalam rumah bersama cucunya, tiba-tiba dikejutkan oleh jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar yang melihat kepulan asap dari bahagian depan.

Katanya, disebabkan uzur beliau hanya merangkak keluar dari pintu belakang dan bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran berkenaan.

 “Saya mengarahkan keempat-empat cucu yang tinggal bersama saya keluar menyelamatkan diri dan syukur tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kedua ibu bapa cucunya tidak ada di rumah ketika kejadian kerana masing-masing pergi bekerja.

 Menurutnya, kebakaran rumah peninggalan suaminya itu menyebabkan beliau mengalami kerugian RM160,00 apabila semua barang yang ada tidak dapat diselamatkan.

 “Lebih malang semua peralatan sekolah yang dibelikan oleh ibu bapa cucunya untuk persekolahan yang bermula  hangus,” katanya.
–teganukite

MB Selangor bukan milik eksklusif PKR

KOTA BHARU 14 Feb. – Pas seolah-olah memberi isyarat bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh sewenang-wenangnya menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Ia terbukti apabila Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, sebarang rancangan pemilihan atau pertukaran bagi jawatan Menteri Besar Selangor hanya boleh dilakukan selepas mendapat persetujuan semua parti dalam pakatan pembangkang.

Oleh itu beliau menegaskan, jawatan itu bukan hak eksklusif atau menjadi milik automatik mana-mana parti sebaliknya ditentukan menerusi kesepakatan.

“Soal Menteri Besar perlu kepada muafakat, bukan hak eksklusif,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa pemimpin Pas turut enggan menyatakan pendirian sebenar parti itu berhubung ura-ura PKR mahu menggantikan Tan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Kedudukan Abdul Khalid dikatakan tergugat berikutan langkah PKR meminta penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Penasihat parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Anwar turut membayangkan beliau akan menggantikan Abdul Khalid walaupun Pas dikatakan lebih berhak memandangkan menguasai 15 kerusi di DUN Selangor berbanding PKR (14 kerusi).

Pendirian Pas yang dilihat seolah-olah tidak merestui Anwar menggantikan Abdul Khalid semakin jelas apabila pada Isnin lalu, Pas Selangor menegaskan belum menetapkan sebarang persetujuan berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor.

Yang Dipertua Pas Kuala Langat, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, Pas Selangor masih berpegang pada keputusan Pas Pusat sebelum ini iaitu isu perubahan jawatan Menteri Besar Selangor tidak perlu dibangkitkan.

Sebelum itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat juga secara terbuka menolak Anwar sebagai Menteri Besar Selangor selain menyifatkan polemik DUN Kajang itu tidak perlu mengheret pakatan pembangkang bagi membincangkan jawatan tersebut.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Anwar pamer kegelojohan sendiri dalam PRK Kajang

PUTRAJAYA 13 Feb. – Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen awal sebelum pengumuman penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jelas menampakkan kegelojohan diri beliau.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung menunjukkan Anwar tidak sabar untuk merebut pengaruh dalam kalangan para pengundi di Kajang.

Beliau berkata, Anwar sepatutnya hanya boleh memulakan kempen mengikut tarikh yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita yang pernah menjadi pembuat undang-undang di Dewan Rakyat dan seharusnya mematuhi undang-undang berkenaan maka seharusnya kita menjadi contoh yang terbaik.

“Bagi KDN, setiap parti politik seharusnya menghormati undang-undang yang sedia ada,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir timbalan beliau, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau mengulas kempen awal yang dilakukan oleh Anwar dalam usaha Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil kawasan berkenaan 23 Mac ini.

Ketika ditanya mengenai penangguhan rayuan kes liwat Ketua Pembangkang itu, Ahmad Zahid menyifatkan langkah tersebut merupakan taktik lazim yang digunakan oleh pasukan peguam bela Anwar.

“Ini bukan pertama kali dilakukan, tentu ada taktik untuk melambat-lambatkan kerana mungkin ada tujuan untuk mereka hadapi PRK Kajang.

“Kita juga seharusnya hormati undang-undang mahkamah, walaupun diizinkan mengikut prosedur dan peraturan tetapi dari segi moralnya menampakkan mereka cuba mengelak sesuatu yang seharusnya didengar dan dibicarakan mengikut tarikh ditetapkan mahkamah,” katanya.

Sementara itu, beliau mengumumkan kementerian akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan pada setiap Khamis bermula pukul 9 pagi sehingga 1 petang di sini.

Jelasnya, pendekatan tersebut dilakukan bagi membolehkan orang ramai mengemukakan aduan dan memohon bantuan daripada semua agensi serta jabatan di bawah kementerian dengan mudah.

“Selain itu, mereka juga boleh memberikan maklum balas mengenai tugas yang telah dilaksanakan kementerian.

“Saya sendiri sebagai menteri telah memulakan pertemuan dengan orang ramai pada setiap Khamis di pejabat, jadi saya mahu memanjangkan perkara ini kepada semua agensi di bawah KDN,” katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

K’jaan Tidak Pernah Pinggir Masyarakat Luar Bandar – Tpm

LUNDU (Sarawak), 14 Feb – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak pernah meminggir masyarakat di luar bandar kerana dasar diamalkan kerajaan selama ini mahu penduduk di bandar mahupun luar bandar menerima pembangunan secara adil.

Beliau berkata masyarakat luar bandar yang tinggal jauh dari pusat pentadbiran tidak pernah terlepas pandang daripada pembangunan yang telah dibawa kerajaan.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) menghargai sokongan kuat oleh rakyat di luar bandar kepada kerajaan. Oleh kerana itu, sebagai contoh saya apabila melawat ke negeri ini akan turut melawat ke kawasan-kawasan luar bandar untuk memahami permasalah mereka,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Lundu, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga Anggota Parlimen Santubong dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas) Tan Sri Adenan Satem merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu.

Menerusi pembangunan yang dibawa kerajaan, Muhyiddin meminta masyarakat luar bandar memanfaatkan sebaik mungkin sumber semulajadi di kawasan mereka untuk mengembangkan potensi pembangunan di kawasan tersebut.

“Sumber seperti tumbuh-tumbuhan, tanaman, hasil laut berpotensi besar membantu pembangunan kawasan luar bandar.

“Ditambah pula dengan bantuan kerajaan kepada petani, nelayan serta pekebun kecil mampu meningkat pendapatan masyarakat luar bandar untuk tempoh 20 ke 30 tahun akan datang seterusnya meningkat taraf kehidupan,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan bersetuju menamakan dewan sekolah berkenaan sempena nama bunga Pakma atau Rafflesia iaitu ‘Dewan Pakma’ sebagai simbolik Taman Negara Gunung Gading di sini yang menjadi tumpuan kerana kewujudan bunga terbesar di dunia itu di taman berkenaan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Bumiputera Lundu di sini.

Terdahulu, Adenan dalam ucapannya memohon Muhyiddin pertimbangkan agar dewan tersebut dinamakan sebagai ‘Dewan Pakma’.

Adenan berkata daerah Lundu yang dibuka pada 22 Jun 1877 sangat bertuah kerana dikunjungi oleh Muhyiddin, kunjungan kedua oleh Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein menjadi pemimpin negara yang pertama pernah berkunjung ke Lundu yang bersempadan dengan Kalimantan Barat (KALBAR), Indonesia, untuk merasmikan Jalan Biawak.

“30-40 tahun dahulu Lundu berbeza, nak datang ke sini kena tunggu feri, kadang-kadang hati rasa marah sebab terpaksa tunggu lama, tetapi kerajaan BN telah bina jambatan untuk mudahkan perjalanan. Selain itu 98 peratus kawasan di Lundu, serta 99 penempatan sudah dapat dihubungi dengan jalan raya,” katanya.

Adenan berkata selain itu, Lundu yang mempunyai 35,000 penduduk juga terkenal dengan pelbagai produk ekopelancongan seperti gunung-ganang, pantai serta pulau-pulau yang menarik.

“Selain itu, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Biawak akan menarik lebih ramai pelawat ekonomi ke Lundu,” kata Adenan yang bakal menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu selepas Taib mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa 28 Feb ini.

Hasrat murid OKU tercapai

BESUT – Penantian seorang murid OKU untuk memiliki e-Book akhirnya tercapai apabila dia menerima seunit komputer riba daripada kerajaan negeri yang disampaikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, kelmarin.

Azli Mohd Afendi, 11, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Alur Peroi, dekat sini, gembira apabila menerima e-Book tersebut yang diagihkan Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Dia yang lumpuh selepas diserang demam panas ketika kecil sudah lama menunggu untuk memiliki kemudahan tersebut, namun terpaksa akur kerana hanya murid tahun lima yang layak menerima e-Book.

“Saya sudah lama mahu memiliki e-Book ini dan sekarang tiba giliran saya untuk memilikinya.

“Saya tak sabar mahu menggunakannya untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik saya,” katanya.

Sementara itu, Azli adalah antara 636 penerima e-Book di kawasan Dun Kuala Besut.

Dia yang berkerusi roda datang ke sekolah berkenaan ditemani ibunya, Azizah Mohd, 55.
–sinar

Dulu Saman Berjuta, Kenapa Sekarang Dikatakan Satira Politik?

Ahli parlimen DAP, Teresa Kok cuba mempertahankan tindakan biadap dan kurang ajar yang dilakukan melalui video sindiran sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini. Menurutnya Umno sengaja ingin memutarbelitkan isu kandungan klip video yang bertajuk ‘Onederful Malaysia’ itu kerana telah bankrap idea.

Wakil rakyat dari Seputeh itu mengatakan, rakaman video tersebut hanyalah merupakan‘satira politik’ (lawak politik) semata-mata kerana ia tidak merujuk kepada mana-mana pihak dan tidak menyebut sebarang nama serta bukan bersifat hasutan.

Paling menarik dia turut mengatakan sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dirinya ia adalah merupakan “penindasan politik”.

Video berdurasi hampir 12 minit yang disiarkan di YouTube itu antara lain memperlihatkan barisan tetamu undangan berkenaan mengeluarkan kenyataan menyindir beberapa perkara, termasuk sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah.

Malah, seorang tetamu dikenali Master Yan Yan yang ditanya mengenai Tahun Melawat Malaysia 2014 mengutuk Sabah dengan kenyataan berikut : But then, you can travel to Sabah, where you get to see pirates, with a bonus show of kidnapping and scenes of open fire” (anda boleh melancong ke Sabah, di mana anda boleh melihat lanun, dengan pertunjukan bonus penculikan dan babak tembakan).

Sindiran-sindiran lain didakwa turut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Yang menariknya isu yang hampir sama ini, pernah terjadi pada beberapa tahun yang lalu. Pada 9 Oktober 2008, dia telah mengemukakan saman berjumlah RM30 terhadap Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Zaini Hassan dan Utusan Melayu (M) Bhd yang kononnya telah menerbitkan sebuah artikel fitnah.

Artikel yang bertajuk ‘Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ‘ba-alif-ba-ya’ itu dikatakan bertujuanmemperkecilkan dirinya secara peribadi dan rasmi termasuk sebagai Ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Exco kerajaan negeri Selangor.

Ketika perbicaraan kes tersebut, dia yang ditanya oleh peguam mengakui artikel tersebut langsung tidak menyebut namanya. Tidak lama selepas itu, Teresa telah mengarahkan peguamnya untuk menarik semula kes tersebut tanpa memberikan sebarang alasan.

Selain daripada itu, dia juga pernah mengemukakan saman terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya kerana menulis sebuah cerpen bertajuk “Politik Baru YBJ” yang kemudiannya diterbitkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 12 Oktober 2008.

Merasakan cerpen tersebut merujuk kepada dirinya, anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu segera memfailkan saman pada 12 Disember 2008 yang berjumlah RM30 juta juga. Dia mendakwa cerpen tersebut telah merujuk kepada dirinya dan bukan hanya sekadar kebetulan. Kes tersebut juga akhirnya diselesaikan di luar mahkamah.

Kesimpulannya, apabila terkena batang hidung sendiri dia bukan main marah lagi, sehingga bertindak mengemukakan saman yang bernilai jutaan ringgit. Pada ketika itu, tidak timbul pula soal satira politik atau hanya sekadar lawak jenaka.

Diharapkan siasatan terhadap kes ini dapat dijalankan dengan segera agar hukuman dapat dijalankan sekiranya terbukti dia bersalah. Semoga dengan tindakan itu, tidak ada lagi kes-kes yang menyentuh sensitiviti dan bersifat perkauman dilakukan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

sumber >> isuhot.com

BRIM 3.0 Dilancar Pada 22 Feb- Najib

TAIPING, 8 Feb — Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) 3.0 peringkat nasional akan dilancarkan pada 22 Feb ini manakala pengagihan bagi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pula diadakan pada 23 Feb, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata pemberian bantuan adalah seperti yang dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) yang mana jumlah BR1M dinaikkan dari semasa ke semasa dalam tempoh lima tahun sehingga mencapai RM1,200.

“Pemberian BR1M ini juga akan diagihkan kepada golongan bujang. Kalau gula naik 34 sen banyak mana kita pakai gula sebulan, habis banyak dua kilogram cuma 68 sen. Yang kita nak beri ini melalui BR1M, bantuan persekolahan dan buku baucar jauh lebih besar daripada itu,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Wisma Umno Bukit Gantang di sini hari ini.

Melalui Bajet 2014 yang diumumkam Najib pada Oktober lepas, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang layak menerima BRIM RM650 dan caruman takaful i-BR1M RM50.

Perdana menteri berkata bagi mengurangkan beban rakyat, selain pemberian BR1M, kerajaan juga mengambil inisiatif dengan membina pasar tani, Kedai Rakyat 1Malaysia serta penguatkuasaan lebih tegas terhadap harga barang.

“Sekarang ini harga barang telah stabil. Ini merupakan asam garam ekonomi tetapi pokoknya kita mesti terus bersandarkan kepada rakyat mesti didahulukan.

“Kita tak mahu membebankan rakyat, kita cuma alihkan subsidi pukal kepada subsidi bersasar dan saya percaya subsidi bersasar ini adalah kaedah yang
terbaik dan kita sedang fikirkan langkah-langkah baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi,” kata Najib.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan mempersia-siakan mandat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Kita sedar dan saya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno sudah tentu sayalah amat sensitif dalam hal ini kerana parti keramat ini iaitu Umno mesti kita pertahankan sebagai parti yang berkuasa, berwibawa secara berterusan,”
katanya.

Najib berkata adalah tidak wajar pihak tertentu menyalahkan kerajaan berhubung kenaikan harga barang memandangkan kenaikan itu disebabkan pelbagai faktor yang tidak dapat dielakkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
1 2 3 5
Presiden
Tim Presiden
Kategori Berita
Muat turun
APLIKASI UMNO BAHGIAN BESUT Muat Turun Aplikasi Umno Bahagian Besut untuk Telefon Android APLIKASI UMNO BAHGIAN BESUT Muat Turun Aplikasi Umno Bahagian Besut untuk Telelefon Iphone
WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT
TV Umno
Lagu Umno
YouTube
Pautan Luar
WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT WEB RASMI UMNO BAHAGIAN BESUT